Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Firdus Zakaria berkata, jumlah tersebut bagaimanapun jauh lebih rendah daripada bilangan keseluruhan premis yang berdaftar dengan GST iaitu kira-kira 7,000 premis.

Justeru, beliau berkata, pihaknya amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk segera membuat aduan sekiranya peniaga masih gagal mengurangkan harga barangan GST sebagaimana sepatutnya bermula 1 Jun lalu.

“Setakat pemeriksaan kita ke atas 377 premis melibatkan jumlah barangan yang disemak harga sebanyak 11,180 item, hanya tiga peniaga sahaja yang tidak patuh.

“Mereka ini telah kita berikan amaran dan sekiranya kita mendapat aduan mereka masih lagi mengekalkan harga lama maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Individu yang disabit kesalahan kerana mengenakan harga lebih tinggi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi kedua-duanya manakala pertubuhan pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2018 di Pasar Raya Besar Pantai Timur, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Firdus berkata, pemeriksaan di bawah Ops Catut 4.0 akan diteruskan sehingga 30 Jun dan para peniaga perlu memastikan sudah menyelaras penandaan harga dan dokumen berkaitan penurunan kadar GST.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 20 jenis barangan tersenarai di bawah skim kawalan harga Hari Raya Puasa 2018 bagi negeri ini yang akan dilaksanakan selama 15 hari bermula hari ini sehingga 22 Jun ini.

“Antara barangan yang dikawal harga di peringkat borong dan runcit adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur pelbagai gred, cili merah dan tomato,” katanya.

Firdus memberitahu, peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan harga barangan lain.

Beliau berkata, pengguna yang mendapati harga barangan kawalan dijual melebihi harga ditetapkan boleh membuat aduan terus ke pejabat KPDNKK negeri 09 7416000 atau talian bebas tol 1-800-886-800. - UTUSAN ONLINE