Kejayaan demi kejayaan dicip­ta oleh kelab ini selepas mendapat sentuhan transformasi da­ri­pada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada JDT yang baru-baru ini merampas Piala Malaysia 2017 daripada pasukan Kedah. Kejayaan pasukan JDT merangkul kejuaraan telah menamatkan kemarau selama 26 tahun selepas tahun 1991.

Lebih istimewa, JDT telah melakar sejarah dalam dunia bola sepak apabila merangkul kemenangan empat kali berturut-turut Liga Super dari tahun 2014 hingga 2017.

“Kejayaan JDT ini adalah satu dari seribu pencapaian Johor yang lain. Johor hanya mahu menjadi yang terbaik. Johor nombor satu, untuk Johor yang terus maju.

“Pelbagai kejayaan JDT ini menandakan bermulanya dekad baharu Johor. Dekad yang me­nyaksikan bukan sahaja kita bakal menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia, tetapi juga kuasa baharu sukan Malaysia”, ulas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kejayaan yang konsisten oleh JDT telah menjadi satu platform terbaik untuk mengukuhkan lagi nama negeri Johor di mata dunia.

Johor bukan sahaja mahu menjadi kuasa besar ekonomi di Malaysia, malah kuasa besar bola sepak yang digeruni oleh pasukan lain.

Lebih penting, JDT turut dilihat sebagai wadah utama bagi usaha penyatuan rakyat Johor, tanpa mengenal warna kulit mahupun peringkat umur. Ini menunjukkan negeri Johor mempunyai rakyat yang berjiwa besar dan tidak pre­judis terhadap kaum lain.

Sebagai anak muda di negeri ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila dimaklumkan hadiah kemenangan yang diraih oleh pasukan ini diserahkan sebagai sumbangan kepada mang­sa banjir di Pulau Pinang.

Sikap keprihatinan yang ditunjukkan ini, bukan sahaja meletakkan kelab ini dalam kelas tersendiri, malah menjadi satu contoh teladan yang baik kepada semua golongan muda.

Malah, kecemerlangan JDT juga dapat memecahkan tembok persepsi rakyat yang menganggap bidang sukan tidak membawa apa-apa impak signifikan kepada negeri mahupun negara.

Sedangkan perkembangan dan sikap seperti ini jelas mampu menjadikan Johor jauh 50 langkah ke hadapan berbanding negeri lain.

Perkara ini pastinya satu pe­lengkap yang baik kepada segala kecemerlangan yang sedang dipamerkan oleh Menteri Besar dalam mengemudi Johor menjadi negeri terbaik di Malaysia.

Malah, sejak memegang pentadbiran kerajaan negeri bermula 2014, beliau terus dilihat sebagai antara tonggak utama yang telah memberikan satu imej baharu yang progresif dan maju kepada Johor.

Pendek kata, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kese­mua pencapaian dan kejayaan seperti ini boleh dianggap sebagai permulaan yang baik kepada dekad baharu Johor untuk terus maju.

Semoga Johor kekal sebagai nombor 1.

DHIA HANI

Penyelidik Persatuan 
Pemikir Muda Johor