Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, semangat sedemikian penting bagi membolehkan mereka terus menjadi insan yang berdaya saing dan mencapai kejayaan lebih cemerlang.

Menurut beliau, mengambil contoh pelajar dan murid di daerah ini, mereka mampu menandingi pelajar lain jika ada keseriusan selain perhatian daripada guru dan ibu bapa.

“Ini jelas terbukti dengan kejayaan anak-anak kita di daerah ini yang memenangi Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah pada tahun lalu sekali gus mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan.

“Walaupun datang dari sebuah daerah iaitu Semporna dan kejayaan ini tidak dicanang, kecemerlangan ini harus dipupuk dan disokong sebagai pemangkin semangat kepada pelajar yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Tampi-Tampi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Raduan Abd. Rahman; Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah, Gulam Rasul dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Senallang, Mohd. Salleh Lakani.

Dalam pertandingan robotik peringkat negeri anjuran Kementerian Pendidikan bersama Pusat Sains Negara; Sasbadi Holdings Bhd. dan Jabatan Pendidikan negeri itu, SK Bukit Lalang dan SK Bubul II dari daerah Semporna, masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua dalam kategori sekolah rendah.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tagasan memenangi tempat pertama dan ketiga kategori sekolah menengah atas manakala SMK Datuk Panglima Abdullah (tempat keempat dan kesepuluh) bagi kategori sekolah menengah rendah.

Pertandingan terbabit disertai 13 buah sekolah rendah dan 36 buah sekolah menengah seluruh negeri.

Nasir yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) memberitahu, dengan kejayaan yang mampu dicapai itu, ibu bapa disarankan supaya memberi lebih perhatian dan mengambil tahu hal ehwal pelajaran anak-anak semasa di rumah.

“Untuk itu, jangan serah sepenuhnya tanggungjawab kepada guru-guru. Sebaliknya, ibu bapa dan para guru perlu bekerjasama untuk memastikan kecemerlangan anak-anak,” tambahnya.