Graduan Diploma Pengurusan Perhotelan, Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) itu dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor 2015 berdasarkan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Dengan kejayaan itu Amerul, 24, yang merupakan anak kepada seorang pemandu lori menerima pingat emas, cek bernilai RM2,000, sebuah plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KPYPJ, Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Saya pernah gagal ketika mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer di UiTM sebelum ini. Kegagalan itu nyata mendewasakan saya untuk bangkit dengan semangat baharu untuk mengecapi kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang pe­ngajian yang saya ambil di KPYPJ,” kata anak sulung daripada empat beradik.

Anak jati Kampung Parit Makmur, Senggarang, Batu Pahat itu mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80 bagi pencapaian keseluruhan semester serta menjadi penerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (KPYPJ) pada setiap semester.

Pada konvokesyen itu seramai 631 graduan KPYPJ menerima sijil dan diploma masing-masing, iaitu 335 orang merupakan graduan diploma dan 296 menerima sijil.

Yang turut hadir pada konvokesyen itu ialah Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Onn Jabar dan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings, Elias Hasran.