Penubuhan Yaked yang berjaya direalisasikan ketika Mahdzir menjadi Menteri Besar telah membantu ramai keluarga miskin di negeri ini.

Bagaimanapun apabila kepimpinan kerajaan negeri beralih ke ta­ngan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008, pergerakan Yaked semakin perlahan.

Dianggarkan sebanyak 6.2 peratus atau 3, 875 daripada kira-kira 62,500 penduduk di Padang Terap berada pada paras kemiskinan.

Pengarah Urusan Yaked, Ruslan Abdul Rahman berkata, Mahdzir kemudian mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipengerusikan beliau itu ke Padang Terap untuk membantu rakyat miskin di kawasan parlimen ini.

“Antara sebab Yaked dibawa ke Padang Terap adalah bertujuan mengenal pasti isu dan masalah kemiskinan di kawasan ini.

“Kita menyelaras dan bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan di daerah ini dalam me­laksanakan program pembasmian kemiskinan, latihan kemahiran dan pendidikan,” katanya di sini semalam.

Menurut Ruslan, Yaked membe­lanjakan lebih RM500,000 sejak dua tahun lalu untuk memberi sumba­ngan kewangan serta pelbagai bantuan barangan makanan, perubatan serta persekolahan dalam usaha meringankan beban golongan sasar. 

“Pada masa ini, kita memberikan bantuan barangan makanan seper­ti beras, gula, tepung, biskut, kopi, susu dan teh kepada kira-kira 50 pe­nerima yang berbeza setiap bulan.

“Selain itu, kita juga menyumbang dua buah motosikal elektrik, sebuah motosikal, tujuh katil hospital dan lebih 50 kerusi roda kepada mereka yang miskin dan warga emas,” ujarnya.

Tambah Ruslan, pihaknya turut menaja kelas tuisyen kepada kira-kira 150 murid tahun empat, lima dan enam menerusi program Ti­tian Kejayaan dan Latus Galus selain memberi bantuan persekolahan termasuk membayar yuran bagi lima pelajar di daerah ini.