Di Kedah, wayang kulit atau lebih dikenali sebagai wayang gedek dikatakan ber­asal dari Selatan Thailand berbeza dengan wayang kulit Kelantan dari segi dialek, watak selain terdapat unsur Buddha dan Hindu dalam jalan penceritaannya.

Allahyarham Mohd. Noh Mahmud yang juga dikenali sebagai Pak Noh Dalang dikatakan tokoh yang mempopularkan wayang gedek di negeri ini selepas mempelajarinya daripada seorang penduduk Siam bernama Den Chorn di Kampung Langsat, Changlun lebih 75 tahun lalu.

Pengasas Kumpulan Wa­yang Kulit Warisan Seni Kam­­pung Padang Asun, Az­­har Ruslan, 37, berkata, Pak Majid atau Abdul Majid Mohd. Noh merupakan anak Pak Noh Dalang yang mewarisi Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun telah mempopularkan wayang gedek di dalam dan luar negara.

“Bagaimanapun sele­pas pemergian Pak Majid kira-kira dua tahun lalu, penggiat wayang gedek semakin kurang. Saya sendiri mengambil inisiatif meng­asaskan Kumpulan Wayang Kulit Warisan Seni Kampung Padang Asun kira-kira 12 tahun lalu kerana mahu wayang gedek terus dikenali ramai.

“Ketika berusia 13 tahun, saya mula belajar untuk menjadi tok dalang dari seorang guru di Pauh, Perlis. Bagaimanapun untuk menjadi tok dalang yang menjadi nadi kepada persembahan wayang gedek bukanlah perkara mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Azhar, dia perlu melalui ritual sembah guru dan cabut gambar bagi memboleh­kannya mempelajari cara untuk menjadi tok dalang yang masih diamalkan sehingga kini, namun upacara bertentangan dengan ajaran Islam tidak lagi diamalkan.

Sementara itu, Mad Desa Murad atau lebih dikenali sebagai Dalang Cha, 48, memberitahu, sukar untuk mencari pelapis tok dalang ke­rana tidak ramai yang mempunyai bakat untuk mengubah intonasi suara mengikut watak sama ada lelaki mahupun perempuan.

“Saya terlibat dalam wayang gedek sudah lama namun hanya berperanan sebagai pemuzik dalam kumpulan Pak Majid. Tapi disebabkan minat, saya belajar untuk menjadi tok dalang daripada Azhar dan mengambil masa lebih setahun untuk menguasainya.

“Selain perlu mempu­nyai keupayaan mengubah intonasi suara mengikut wa­tak, tok dalang juga perlu bijak menyelitkan isu-isu semasa dalam persembahan wayang gedek yang kebanyakannya masih menggunakan cerita hikayat dari Thailand,” katanya.

Menurutnya, tok dalang juga perlu lincah menggerakkan patung yang di­perbuat daripada kulit lembu itu selaras dengan maksudnya wayang gedek.