Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Siti Aishah Daud, 67, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dipercayai dipatuk ular tersebut ketika ingin ke bilik air.

Anak mangsa, Rosli Zakaria, 39, berkata, ibunya itu sempat menghubunginya pada kira-kira pukul 2.38 petang untuk memaklumkan kejadian dia dipatuk ular ketika mahu ke bilik air.

“Dalam perbualan itu, ibu memberitahu dia berasa mahu pitam selepas dipatuk ular tersebut... saya meminta dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

“Saya menghubungi jiran untuk meminta bantuan dan tidak lama kemudian, saya dimaklumkan ibu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, ibunya tinggal bersendirian di rumah ketika kejadian kerana cucu perempuan yang tinggal bersamanya telah pergi kerja kerana menjalani latihan praktikal di sebuah jabatan kerajaan di Kangar, Perlis.

Katanya, ibunya telah membuat persiapan awal seperti mencari daun palas di sekitar rumahnya untuk membuat ketupat sejak beberapa hari lalu untuk menjamu anak dan cucunya selepas berjaya menghabiskan puasa enam.

“Setiap tahun, ibu memang berpuasa enam pada Syawal ini... selepas berjaya menghabiskan puasa, dia buat sedikit jamuan untuk anak-anak, cucu serta tetamu yang berkunjung ke rumah,” katanya.