Mangsa, Che Minah Musa, 49, berkata, ketika kejadian pada pukul 6.45 petang itu, dia berehat di bilik kerana demam.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat yang menakutkan dan melihat bumbung rumah runtuh setelah pokok setar berhampiran rumah tumbang betul-betul di atas bumbung bilik saya.

“Saya tergamam waktu itu dan nasib baik suami saya, Abdul Rani Abu Bakar, 69, ada di rumah dan segera menarik menyelamatkan saya dan segera berlari keluar rumah,” kata Che Minah ketika di temui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, kejadian itu amat menakutkan dan dia masih trauma kerana tidak dapat melupakan kejadian itu yang mungkin akan menyebabkannya cedera atau hilang nyawa.

“Suami tercedera pada lengan dalam kejadian itu ketika cuma membantu saya, “ katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah, Datuk Md. Shuhaimie Abdul Rahman berkata, kejadian ribut itu mengakibatkan 101 rumah di Kampung Charuk Sikin, Kampung Charuk Bemban dan Kampung Gua Reban mengalami kerosakan teruk.

“Sebanyak 444 mangsa di tiga kampung terlibat termasuk dua masjid, sebuah surau dan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil dan Sekolah Menengah Syed Abu Bakar turut mengalami kerosakan,” katanya.

Tambah beliau, bantuan untuk bencana alam segera diberikan kepada mangsa ribut berupa wang perbelanjaan sebanyak RM200 dan kit makanan serta peralatan lain.

“Bantuan susulan daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim seperti baik pulih rumah akan diberikan kepada mangsa setelah laporan lengkap diperoleh daripada mereka,” kata Md. Shuhaimie.