Video oleh Muhamad Aimy Ahmad dan Fariz Rusadio

Sambil menyifatkan krisis tersebut sebagai paling buruk sejak 20 tahun lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa kerajaan segera membina Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Selambau.

Katanya, pembinaan loji tersebut sahaja dilihat sebagai langkah paling berkesan untuk menyelesaikan masalah itu khususnya apabila negeri ini dilanda musim kemarau seperti sekarang.

"Dalam tempoh 20 tahun ini, ini krisis air paling teruk di Merbok. Penduduk di kawasan berkenaan selama ini hanya bergantung kepada sumber air di Gunung Jerai tetapi apabila musim kemarau, sumber tersebut semakin kering.

"Penduduk sekarang hanya bergantung dengan lori yang menghantar bantuan air setiap hari. Penduduk mengeluh mereka sudah tidak tahan lagi dengan situasi ini dan berharap kerajaan segera membantu menyelesaikan masalah ini.

"Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM220 juta membina loji tersebut menjelang pilihan raya lalu namun tidak diteruskan oleh kerajaan hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kedah dan Johor bakal berdepan masalah kekurangan bekalan air selepas berlaku penyusutan loji rawatan di beberapa buah tempat dengan hanya mampu mengeluarkan air terawat kira-kira 50 peratus sahaja.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, masalah tersebut berlaku ekoran cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga ke penghujung April ini sekali gus memberi kesan kepada kira-kira 150,000 penduduk di kedua-dua negeri itu.

Tambah Muhammad Sanusi, berikutan masalah tersebut, Pas negeri ini mengambil inisiatif mengutip wang sesama pemimpin parti itu dan menyewa lori bagi menghantar bekalan air tersebut.

Katanya, bantuan tersebut disalurkan di sekitar kawasan Tanjung Dawai iaitu antara lokasi yang terjejas teruk.

"Sepatutnya kerajaan memberi keutamaan mengenai masalah infrastruktur bekalan air yang kritikal di negeri ini sebelum melaksanakan projek-projek lain," katanya.- UTUSAN ONLINE