Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar dilakukan pihak polis di Kedah, untuk tahun ini.

“Mulanya kira-kira pukul 6.20 pagi semalam, kami menahan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun di satu persimpangan lampu isyarat, dekat Kuala Kedah. Pemeriksaan mendapati terdapat 533 ketulan mampat ganja ditemukan di bahagian belakang kenderaan itu yang ditutupi dengan kain.

“Susulan daripada itu, kami menahan tiga lagi lelaki di perkampungan nelayan di Kuala Kedah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan barangan terlarang tersebut. Kesemua mereka ditahan dalam tempoh kira-kira sejam selepas tangkapan pertama dilakukan,” katanya.

Katanya, kesemua ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.58 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE