Bagaimanapun berbeza de­ngan gerai bihun sup Kak Mah yang terletak di Kampung Paya Kerchut di sini yang menerima ratusan pelanggan gara-gara tularnya makanan tersebut di laman sosial Facebook.

Walaupun gerainya tidak sehebat restoran mewah tetapi keenakan bihun sup tersebut yang diusahakan oleh Che Mah Abdullah, 61, begitu popular sehingga ada pelanggan datang dari jauh semata-mata mahu menikmati makanan itu.

Menurut Che Mah, segalanya bermula apabila seorang pelanggan memuat naik gambar makanan itu ke laman sosial tersebut lantas menjadikannya tular ke seluruh negara.

“Sejak peristiwa itu, gerai yang diusahakan bersama suami, Md. Salleh Nayan umpama fenomena luar biasa.

“Saya tidak menyangka de­ngan kuasa tular ini boleh menarik ramai orang datang ke Kampung Paya Kerchut yang agak terpencil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, gerai yang diusahakan sejak tahun 1981 itu, hanya mempunyai enam meja sahaja, namun selepas terkenal di laman sosial, dia menambah lebih 30 meja.

“Bagaimanapun, jumlah meja ini tidak mencukupi berikutan kehadiran pelanggan begitu ramai sehingga sanggup berdiri menunggu giliran menikmati makanan tersebut.

“Perniagaan yang saya usahakan adalah berskala kecil untuk menyara kehidupan kami sekeluarga dan dikunjungi masyarakat di sekitar kampung ini,” katanya.

Menurutnya, disebabkan pertambahan pelanggan, setiap hari dia memperuntukkan kuah sup sebanyak empat periuk besar dan lebih 100 kilogram daging diperlukan menggunakan resipi suaminya.

Che Mah berkata, dia tidak lokek untuk menyediakan makanan itu dengan timbunan da­ging kerana kepuasan pelanggan menjadi keutamaan.

“Saya berniaga di rumah sendiri tanpa perlu membayar bil yang mahal, saya pastikan setiap pelanggan menjamu selera di sini benar-benar berpuas hati,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pe­kerja gerai tersebut, Salamiah Baharuddin, 22, menyifatkan Che Mah sebagai peniaga yang bertimbang rasa, mementingkan kepuasan pelanggan dan kualiti makanan.

“Semua persiapan akan disediakan sebaik mungkin untuk memastikan pelanggan yang datang tidak kira jauh atau dekat berpuas hati setelah menjamu selera di sini,” katanya.

Katanya, terdapat pelanggan datang dari Pulau Pinang, Perlis dan Perak sehingga dia dimaklumkan oleh mereka yang menge­tahui bahawa gerai tersebut popular di Facebook.

“Kebanyakan memberi komen positif. Kami cuma nak orang rasa puas bila makan,” katanya.

Katanya, mereka memulakan perniagaan pada pukul 12 tengah hari pada setiap hari kecuali Jumaat tetapi pada pukul 10 pagi pelanggan sudah pun mula berada di hadapan gerai itu.

“Di gerai ini, selain bihun sup, mee dan kue tiaw turut dijual pada harga RM3.50 hingga RM5 semangkuk,” katanya.

Menurutnya, seramai 11 pe­kerja bertungkus lumus menguruskan gerai itu memandangkan Che Mah tidak lagi bergerak aktif kerana hanya menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Kini dia hanya tunggu di kaunter bayaran, suaminya bertugas untuk memasak manakala pekerja lain bantu operasi jualan,” katanya.

Bagi seorang pengunjung, Zainal Barhan Yahya, 54, makanan itu cukup istimewa selain sedap dan dagingnya yang ba­nyak.

“Aroma sup dan warna bihun yang dicelur dengan kunyit serta timbunan daging hampir menu­tupi mangkuk merupakan tarikan utama di gerai ini,” katanya.

Zainal berkata, dia mengetahui kewujudan gerai tersebut setelah saudaranya di Johor memintanya menunjukkan jalan ke lokasi tersebut.

“Mereka datang dari jauh ha­nya untuk makan bihun sup da­ging segenggam disebabkan kecur air liur selepas melihat gambar makanan itu di Facebook,” katanya.

Katanya, setelah merasai sen­diri keenakan makanan itu, gerai tersebut menjadi destinasi wajib dikunjungi setiap kali saudara-mara atau rakan yang bertandang ke rumahnya terutama musim cuti sekolah.

“Apabila kita sendiri berpuas hati, sudah tentu akan membe­ritahu rakan atau saudara-mara dan saya tidak kisah kerana tahu sesiapa yang merasai kehebatan bihun sup itu pasti akan berpuas hati,” katanya.