Sedangkan sebelum ini dia yang mesra dengan panggilan Altamis merupakan kanak-kanak normal, bebas bergerak ke sekolah malah aktif kerana sukan kegemarannya, bola sepak.


Video Oleh JAMLIAH ABDULLAH

Semua itu bagai diragut sekelip mata tatkala Almatis kini hanya mampu mengesot atau merangkak selain menggunakan alat sokongan untuk berjalan.

Menurut bapanya, Ahmad Shukri Kassim, 31, satu-satu ra­watan yang perlu segera dila­kukan ke atas Altamis adalah plasmaferesis di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan kos RM7,500.

Anggota tentera ini mengakui dengan pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan sebagai anggota tentera, dia tidak mampu menyediakan kos rawatan itu dengan segera.

“Untuk rawatan ini saya perlu beli sejenis filter dengan kos RM7,500 kerana ia tidak dibiayai pihak hospital. Saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana dalam tempoh 47 hari Altamis dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah dan HPP sudah banyak wang yang saya habiskan termasuk simpanan.

“Saya memohon kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan pejabat zakat negeri tetapi tiada lagi jawapan,” katanya ketika ditemui di Taman Mahsuri Jitra dekat sini hari ini.

Jelasnya, Altamis perlu segera menjalani rawatan itu kerana pergerakannya semakin merosot sehingga tidak mampu berjalan.

“Kaki kirinya semakin mengecil Altamis perlu menggunakan alat sokongan termasuk kerusi roda untuk bergerak. Kehidupan sehariannya diuruskan oleh isteri saya, Norhidayah Md. Amin,” katanya.

Bercerita tentang penyakit anaknya itu, kata Ahmad Shukri, Altamis merupakan kanak-kanak normal malah lasak sehingga dia mengalami kesakitan pada pinggang sehingga ke kakinya dan tidak dapat berjalan pada 5 Julai lepas.

Apa yang memilukan sejak diserang penyakit itu pada 5 Julai lepas, kanak-kanak terbabit terpaksa melupakan sementara persekolahannya.

Bagi Almatis, seperti kanak-kanak lain dia berharap untuk kembali berjalan malah ke sekolah semula.

“Saya nak ke sekolah, rindu kawan-kawan dan bermain bola,” kata pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman Jitra di sini.

Sesiapa yang ingin membantu kanak-kanak malang ini supaya dia boleh berjalan semula boleh menghubungi Ahmad Shukri di talian 012-4754756 dan bantuan juga boleh disalurkan ke akaun Maybank 157063914374 (Ahmad Shukri Kassim).