Dalam kejohanan yang diadakan di UUM itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tempat pertama dan Universitas Negeri Medan (Unimed) di tempat kedua.

Dua pesilat UUM, Muhammad Fahil Syarifi dan Natasha Adilah Mohamed masing-masing mengha­diahkan pingat emas bagi acara Pencak Silat kategori Tunggal Putera dan Tunggal Puteri.

Muhammad Fahil berjaya me­nundukkan Itqom Fahmi Syair dari Universitas Muhamdyah Suma­tera Utara (UMSU) Indonesia dengan pungutan 440 mata, manakala Natasha Adilah memperoleh 445 mata mengatasi pesilat juga dari UMSU, Ayu Lestari yang berkedu­dukan tempat kedua dengan 431 mata.

Pingat gangsa bagi kategori Tunggal Putera dimenangi pesilat Fahrurozi dari Unimed Indonesia dan Tunggal Puteri dimenangi Siti Hawa Abdul Wahid dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, pasukan Pencak Silat UUM turut mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul pingat perak bagi kategori Ganda Putera yang diwakili Nik Mohamad Amirul Fikrie Zulkifli dan Nik Muhammad Alimi Nik Mhd Azahari, manakala kategori Ganda Puteri diwakili Natasha Adilah Mohamed dan Siti Norzaleha Abdullah.

Tidak ketinggalan menyumbang pingat kepada UUM ialah pasukan bola keranjang lelaki dengan kemenangan merangkul pingat gangsa, sementara UMSU merangkul pingat emas dan pingat perak dimenangi USM.

Sementara itu, pesilat UUM Natasha Adilah Mohamed, 22, berkata, dia gembira apabila berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam acara pencak silat yang dipertandingkan itu, sekali gus membantu menaikkan nama UUM dengan pungutan pingat emas yang dimenanginya bagi kategori Tunggal Puteri dan juga pingat perak bagi kategori Ganda Puteri.

“Saya berterima kasih atas so­kongan diberikan oleh ahli keluarga, jurulatih, pasukan dan juga pihak universiti hingga dia berjaya mencapai kemenangan itu,” katanya.

Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan dalam Karnival Varsiti IMT-GT kali ini iaitu badminton (lelaki dan wanita), bola sepak, tenis (lelaki dan wanita), bola tampar (wanita), bola keranjang dan pencak silat (lelaki dan wanita).

Kontinjen dari Malaysia diwa­kili UUM, USM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain empat universiti dari Thailand dan empat dari Indonesia.

Majlis diakhiri dengan penyerah­an bendera IMT-GT oleh Presiden Majlis Varsiti IMT-GT yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USM, Prof,. Datuk Dr. Adnan Hussein kepada wakil tuan rumah Karnival Varsiti IMT-GT Ke-18 iaitu Rajamangala Universiti of Techology Sri Vijaya (Rmutsv), Songkhla, Thailand dalam majlis penutup di UUM di Sintok, di sini.