Akibat cuaca panas yang melam­pau sejak kebelaka­ngan ini, air sungai menjadi cetek dan hasil tangkapan nelayan berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Tapi syukurlah sebab pada masa ini juga adalah musim udang galah. Tapi kami kena ubah rutin sebab udang galah hanya keluar ke muka air pada waktu malam, siang ia sembunyi dalam lubuk dan susah nak tangkap,” kata Pengerusi Persa­tuan Nelayan Darat Mukim Sidam Kanan, Soaid Bakar di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan nelayan darat di sini keluar pada waktu malam antara pukul 7.30 malam hingga pukul 12 tengah malam untuk ke sungai bagi mencari udang galah yang sa­ngat laris di pasaran.

“Waktu malam udang galah lebih aktif dan keluar ke kawasan air yang cetek atau gigi air untuk mencari makanan,” katanya.

Soaid berkata, harga pasaran udang galah juga agak tinggi berbanding ikan sungai iaitu mencecah RM90 hingga RM150 sekilogram dan jumlah itu mampu menampung kerugian nelayan darat ketika musim kemarau.

“Setiap hari sekurang-kurangnya nelayan di sini peroleh RM90 hingga RM200, hasil menjual udang galah dan ia lebih lumayan berbanding menangkap ikan.

“Seekor udang galah mempunyai berat antara 250 gram hingga 450 gram, jika nelayan ini berjaya menangkap dua hingga tiga ekor setiap hari, ia sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, bagi pembuat ikan pekasam, Hadani Saidon, 64, berkata, musim udang galah ketika ini membantunya meneruskan kehidupan meman­dangkan ikan sukar ditangkap untuk dijadikan pekasam dan dijual.

“Sejak musim panas ini, hasil tangkapan ikan berkurangan, terpaksa pula berdepan masalah kesihatan sebab panas sangat, jadi saya keluar malam tangkap udang galah.

“Saya bersyukur walaupun hasil ikan kurang, saya dapat antara RM100 hingga RM150 setiap kali turun tangkap udang galah sebab saya selalu dapat dalam empat atau lima ekor udang galah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di perairan Sungai Muda mendapati ramai nelayan menggunakan alatan seperti bubu, kerawai dan joran untuk menangkap udang galah di kawasan itu. – BERNAMA