Pengerusi Jawatankuasa Pe­ne­ra­ngan, Pembangunan Luar Ban­dar dan Pembasmian Ke­miskinan ne­geri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, peranan orang ramai melaporkan kejadian dan kerosakan yang boleh membahayakan nyawa orang ramai amat dialu-alukan.

“Tindakan orang ramai amat bertepatan demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk dan orang ramai di kawasan sekitarnya.

“Dengan cara itu, pihak kerajaan dan agensinya dapat bertindak segera bagi menyelesaikan masalah tersebut sekali gus dapat mengelak kejadian yang lebih serius,” katanya ketika ditemui meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Pinang, Mukim Sok, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman dan Jurutera Daerah Sik, Shaiful Azhari Ahmad.

Menurutnya, keadaan runtuhan tebing sedalam enam meter ke bawah dan menghampiri dua kaki hampir ke bahu jalan berlaku ketika hujan lebat petang Ahad lepas.

Keadaan runtuhan itu amat berbahaya kepada pengguna jalan raya, terutamanya jika mela­lui kawasan itu pada waktu malam kerana tiada lampu jalan di sekitarnya.

Katanya, keadaan hujan juga menyebabkan keadaan jalan raya serta jambatan berhampiran kawasan tersebut juga mengalami kerosakan.

“Kerosakan jalan raya ini akan dibaiki dengan segera dan kerajaan memperuntukkan RM70,000 untuk membina penghadang runtuhan dan juga menurap semula jalan-jalan yang rosak.

“Sementara menantikan pem­binaan semula kerosakan dilakukan oleh pihak Jabatan Ker­ja Raya dan agensi-agensi terlibat, saya mengharapkan supaya pengguna-pengguna lebih berhati-hati melalui jalan Kampung Pisang dan Kampung Caruk Senduk ke Nami supaya tiada kemalangan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap supaya pemimpin setempat peka dengan keadaan sekeliling dan segera melaporkan sekiranya berlaku kerosakan dan runtuhan demi keselamatan orang ramai.