Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada tujuh projek itu, program kad pintar dikenali sebagai kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) akan memberikan manfaat terus kepada rakyat termiskin.

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

Katanya, menerusi KIDA, sebanyak 5,482 ketua isi rumah yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan boleh membeli barangan keperluan asas bernilai antara RM400 hingga RM500 sebulan di pasar raya terpilih.

‘‘Pengenalan kad pintar hasil inisiatif daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ini akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dengan di­bantu kerajaan Per­sekutuan seba­nyak RM30 juta sebulan,’’ katanya dalam Majlis Perjumpaan Khas Menteri Hal Ehwal Ekonomi bersama Pegawai-pegawai Kanan dan Kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Negeri Kedah di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Yang turut hadir Mukhriz Mahatir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Tambah Moha­med Azmin, selain bantuan itu, kerajaan juga akan mengenal pasti isi-isi rumah terlibat untuk diberikan latihan kemahiran dan modal perniagaan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Beliau berkata, projek-projek lain yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim bernilai RM1.6 bilion; Lebuh Raya Koridor Utara sejauh 70 kilometer yang menghubungkan Bandar Baharu-Sungai Petani dan Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim yang kedua-duanya bernilai RM1.7 bilion.

“Tiga lagi projek ialah pembinaan Hab Taman Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam (RM300 juta); Perpustakaan Digital di Alor Setar (RM15 juta) dan Taman Industri Petrokimia di Gurun (RM2 juta),” katanya.

Beliau memaklumkan, pembinaan lebuh raya tersebut akan meningkatkan hubungan kawasan-kawasan luar bandar seperti Yan, Sik dan Baling seterusnya menjana pendapatan penduduk miskin di daerah-daerah berkenaan.

Katanya, kesemua projek yang diluluskan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Putrajaya semalam, akan dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual.