Pengarah Kesihatan­ negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, langkah itu perlu bagi menjamin tahap kesihatan masing-masing dan mengelakkan ke­racunan makanan seperti gelaja muntah-muntah atau cirit-birit disebabkan oleh makanan yang tercemar.

“Pengguna perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan hanya memilih gerai yang mengutamakan kebersihan. Mereka juga mesti memberi teguran kepada pengendali makanan yang gagal mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan. 

“Mereka juga perlu membuat aduan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah jika keadaan sesuatu gerai tidak bersih atau berlaku keracunan makanan, muntah dan cirit-birit yang disyaki akibat pengambilan makanan dari premis atau gerai makanan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika menyertai operasi di Bazar Ramadan Taman Mahsuri, Jitra, di sini semalam.

Katanya, operasi bertujuan memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat dengan mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 

“Operasi juga melibatkan aktiviti pendi­dikan bagi menekankan aspek kepentingan kepatuhan kepada peraturan kebersihan makanan.

“Semasa operasi, tiga sampel makanan turut diambil iaitu nasi, ayam goreng dan ayam masak merah. Sampel-sampel itu dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Perlis untuk analisis mikrobiologi. Tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil ujian sampel makanan tersebut,” katanya.

Ujar beliau, pemerhatian ke­selu­ruhan mendapati tahap pe­nge­tahuan berkaitan peraturan-peraturan makanan adalah baik antaranya pemakaian apron dan penutup kepala, penggunaan pe­nyepit makanan, penggunaan sa­rung tangan, latihan pengendali makanan dan suntikan tifoid.