Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,  kerajaan negeri memandang serius insiden feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang rosak semalam sehingga
menyebabkan 25 penumpang, sembilan krew terkandas di laut selama tujuh jam semalam.

"Apabila feri itu sendiri tidak diselenggara dengan baik sehingga berlaku penumpang terkandas saya ingin ingatkan semua syarikat yang beroperasi sebagai pengusaha feri untuk serius dalam soal penyelenggaraan feri masing-masing. Kita tak mau perkara tidak diingini berlaku.

"Setakat terkandas pun tidak menepati piawaian. Kita ingin mengesyorkan kepada Kementerian Pengangkutan mana-mana syarikat menghadapi masalah yang
berulang maka kita akan ambil tindakan supaya syarikat itu tidak akan dibenarkan lagi beroperasi. Baik dari Kuala Kedah ke Langkawi mahupun dari Kuala Perlis
tentu mereka pun tidak akan dibenarkan jika perkata seperti itu berlaku," katanya.

Beliau mengulas tentang insiden seramai 25 penumpang feri dan sembilan krew terkandas lebih tujuh jam selepas feri yang mereka naiki dari Langkawi ke Kuala Kedah mengalami kerosakan enjin semalam.

Tambah Mukhriz, peraturan yang ketat itu perlu dilaksanakan bukan sahaja untuk memastikan keselamatan orang ramai tetapi memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak tercemar dengan insiden tidak diingini seperti itu.

Sementara itu, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. iaitu konsortium feri terbesar Langkawi dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kejadian berkenaan tidak membabitkan feri di bawah selenggara syarikat gabungannya.

Menurut Pengurus Operasinya, Baharin Baharom, syarikat-syarikat di bawah konsortium ini terikat dengan prosedur operasisStandard (SOP) yang ketat di mana setiap kapten atau ketua pegawai feri perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan jika berlaku sebarang kecelakaan di laut.

"Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin memaklumkan bahawa feri terkandas tersebut adalah feri di bawah kendalian syarikat Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. yang merupakan pengendali feri penumpang yang baharu di Langkawi.

“Syarikat tersebut tidak menyertai kami sebagai sebuah syarikat konsortium," katanya. - UTUSAN ONLINE