Tinjauan Utusan Malaysia di terminal berkenaan di sini hari ini mendapati harga tiket yang dijual di kaunter kembali kepada harga RM23 berbanding RM26 semalam untuk dewasa manakala kanak-kanak RM17 berbanding RM20.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Wong Sie Kiong berkata, pihak­nya akur dengan arahan kerajan negeri supaya menarik semula caj tambahan yang dikenakan kepada penumpang.

“Mengenai caj pengurusan sebanyak RM3 itu, kita tangguhkan sementara waktu. Ini bagi membolehkan pihak kami mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Jabatan Laut Malaysia dalam masa terdekat.

“Selepas ini, pihak kami akan memberi hebahan dengan menampal notis di kaunter tiket dan laman web di alamat www.langkawiferryline.com jika terdapat caj tambahan yang akan dikenakan kepada pengguna feri Langkawi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengguna perkhidmatan tersebut melahirkan rasa kecewa semalam apabila pengusaha feri dikatakan mengenakan tambang baharu dari RM23 kepada RM26 untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak dari RM17.00 kepada RM20 untuk laluan itu tanpa sebarang notis.

Pelbagai pihak tampil mengemukakan bantahan termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yang menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan kenaikan tidak masuk akal.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Pendidikan, Peng­ang­kutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain memberi amaran kepada operator feri supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga tiket atau me­ngenakan caj tambahan tanpa berunding dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Saya ingin menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa kita tidak bersetuju dengan caj tambahan yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan tersebut yang mana jelas membebankan rakyat di negeri ini mahupun pelancong,” ujarnya.