Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, syarikat tersebut seharusnya tidak melepaskan tanggungjawab mereka begitu sahaja meskipun tugas mereka menyiapkan sesuatu perumahan itu selesai.

“Meskipun mereka memperoleh sijil perakuan siap perumahan (CCC), mereka tidak boleh mengelak syarikat mereka untuk tidak bertanggungjawab tentang keselamatan penghuninya terutamanya apabila berlaku runtuhan tanah ataupun tebing di kawasan perumahan yang mereka bina.

“Syarikat terbabit perlu tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah runtuhan tanah tersebut walaupun terdapat surat perjanjian yang menyatakan mereka tidak terlibat sekiranya berlaku bencana ataupun kemalangan yang me­ngancam nyawa dan harta benda penghuninya,” kata Abdul Azeez ketika meninjau kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan Taman Harmoni, Charuk Nau di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh yang melibatkan lapan rumah di kawasan perumahan itu berlaku pada pertengahan Februari lalu masih belum diambil sebarang tindakan oleh mana-mana pihak meskipun aduan diajukan kepada pemaju perumahan dan Majlis Daerah Baling (MDB).

Katanya, tindakan MDB mengarahkan penghuni-penghuninya mengosongkan rumah-rumah terbabit juga tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya tiada tindakan untuk memperbaiki kawasan runtuhan itu.

“Pihak MDB dan kementerian berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut perundangan yang ada untuk menyelesaikannya supaya tiada masalah lain yang lebih besar berlaku. Mereka harus berbincang mencari jalan penyelesaiannya segera mengatasi masalah runtuhan ini.

“Runtuhan itu berkemungkinan besar dan merebak mengenai rumah lain memandangkan keadaan cuaca hujan yang kerap berlaku pada masa kini,” kata Abdul Azeez.

Katanya, pihak berkaitan perlu bertindak dan bertanggungjawab segera serta memberi amaran kepada pemilik syarikat perumahan dengan menyenaraihitamkan nama pemilik syarikat sekiranya masih berdegil dan tidak mahu menyelesaikan masalah tersebut.