Menerusi Kempen Hargai Makanan, Elakkan Perbaziran MySaveFood Ramadan 2019 yang dijalankan di Bazar Ramadan Taman Ria di sini, sejak 12 Mei lalu, seramai 600 orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Semeling dekat sini, menerima manfaatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan serta Perumahan negeri ini, Tan Kok Yew berkata, inisiatif diambil SWCorp negeri itu amat dialu-alukan bagi mengelak makanan dan minuman yang masih elok terbuang begitu sahaja setiap hari.

“Dalam kempen ini, perlu diingat bahawa kita hanya mengambil makanan dan minuman yang berkualiti sahaja serta sesudah diperiksa oleh pihak berwajib, untuk disumbangkan kepada pelajar.

“Jika inisiatif ini (kempen) tidak dilakukan oleh SWCorp, ramai peniaga di bazar Ramadan akan membuang sahaja makanan dan minuman ini (yang masih elok),” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, semalam.

Yang turut hadir Pengarah SWCorp negeri, Zaidi Tuah dan Pembantu Tadbir Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI), Serdang, Selangor, Norshafiza Suid.

Menurut Kok Yew, kempen hargai makanan seumpama itu perlu diperluaskan ke daerah lain dan golongan susah yang memerlukan.

“Bagaimanapun, peniaga di satu-satu kawasan perlu diberi maklumat lebih awal (tentang kebaikan kempen untuk mengelak pembaziran).

“Saya yakin golongan peniaga pasti akan menyokong, tambahan pula ia dilaksanakan pada Ramadan semasa umat Islam digalakkan bersedekah,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, sepanjang lapan hari kempen hargai makanan ini dilaksanakan di Bazar Ramadan di Taman Ria Jaya, iaitu bermula 12 Mei lalu, sebanyak 803.7 kg makanan dan 922 kg minuman berjaya dikumpulkan.

“Semua makanan ini termasuklah seperti nasi ayam, martabak, bihun sup dan kuih-muih yang tidak dapat dijual tetapi masih elok,” katanya. - UTUSAN ONLINE