Shharun Othman, 46, berkata, lebih 20 tahun dia terpaksa menggalas tanggungjawab untuk me­nyara kehidupan mereka sekeluarga.

Katanya, tahap kesihatan suami, Khamis Ahmad, 50, yang ke­rap diserang sawan menyebabkan dia terpaksa bekerja sendirian sejak di awal perkahwinan lagi.

“Cuma beberapa tahun lalu, anak sulung saya yang kini berusia 24 tahun turut membantu menyara kehidupan kami. Namun kini, kami sekeluarga sudah hilang punca pendapatan selepas kedua-duanya diberhentikan kerja.

“Selama 16 tahun saya bekerja di sebuah kilang perabot namun diberhentikan apabila ia (kilang) ditutup. Kemudian saya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai kopi namun diberhentikan hampir dua bulan lalu dengan alasan sudah ramai pekerja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Telok Kechai, Kuala Kedah, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Pengasas Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail yang berkunjung ke rumah Shharun menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang-barang makanan sebagai menunaikan tanggungjawab sosial kepada keluarga berkenaan.

Menurut Shharun, anak keduanya juga masih belum bekerja manakala anak kembarnya iaitu Muhamad Badrol Aiman dan Muhamad Badrol Amin, 14, mengalami masalah lembam.

“Disebabkan saya dan anak sudah tidak lagi bekerja, hidup kami kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ ketika ini.

“Makan apa sahaja yang ada. Mujur anak kembar saya mendapat bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada JKM (Jabatan Kebajikan Malaysia) yang mana dapat membantu belanja persekolahan mereka,” ujarnya.

Tinjauan mendapati hampir 90 peratus rumah kayu yang menjadi tempat berte­duh Shharun sekeluarga sudah rosak malah sebahagian bumbung dan dinding juga sudah lompong. 

Sementara itu, seorang aktivis masyarakat, Zuraini Kamal berkata, pihaknya sedang berusaha me­ngumpul bantuan bagi membolehkan enam beranak tersebut mendapat kediaman yang lebih selesa.

“Saya difahamkan, mereka tinggal di rumah milik keluarga Khamis. Untuk membaik pulih rumah ini, kami perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak keluarganya terlebih dahulu.

“Selain itu, kami akan berusaha mendapatkan dana untuk membaiki rumah tersebut. Jika tidak mendapat persetujuan keluarga, kami berharap mereka boleh mendapat rumah PPR (Program Perumahan Rakyat),” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi Zuraini selaku pemegang amanah di talian 012-4731352.