Setiausaha Sulit kepada Sultan Sallehuddin Kol (K) Datuk Elmi Yusoff dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan baginda berdua amat berdukacita dengan apa yang berlaku itu dan mengharapkan kesemua anggota keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan itu.

"Baginda Sultan dan Sultanah Kedah mengharapkan anggota keluarga mangsa tsunami itu terus kuat menghadapi ujian tersebut, dan baginda Sultan Kedah turut mendoakan semoga Allah SWT mempermudahkan urusan pasukan penyelamat di Indonesia mencari dan menyelamat mangsa yang belum ditemui," katanya.

Elmi berkata Sultan Kedah turut bertitah bahawa bencana sedemikian tidak berada dalam kawalan manusia yang ia hadir tanpa diduga maka baginda bertitah memohon semua umat Islam di negeri ini untuk sama mendoakan kesejahteraan rakyat Indonesia.

Tsunami yang berlaku sekitar jam 9.27 malam waktu tempatan (10.27 malam Waktu Malaysia) dipercayai disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia Sutopo Purwo Nugroho dipetik dalam laporan media sebagai berkata sehingga semalam jumlah korban tragedi itu meningkat kepada 373 orang, 128 masih hilang manakala 1,459 cedera.- BERNAMA