Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Shamsul Nizam Khalil berkata, dalam operasi pukul 10.30 pagi itu, pihaknya menyita 80 tong LPG pelbagai jenama termasuk 40 tong LPG kosong dan sebuah kenderaan dengan nilai rampasan sebanyak RM15,220.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik stor iaitu seorang lelaki dalam lingkungan umur 40-an memiliki barang kawalan LPG tanpa kebenaran atau lesen yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurus niaga barang kawalan berja­dual LPG tanpa lesen sah,” kata­nya di sini hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak KPDNKK me­n­yiasat syarikat membekalkan LPG tersebut dan mengambil tindakan terhadap pembekal kerana membekalkan LPG kepada pihak tidak mempunyai kebenaran atau lesen di bawah Peraturan 9(2) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita akan terus aktif membenteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi terutama­nya LPG. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat penyelewengan dalam membantu kerajaan menangani ketirisan barangan bersubsidi,” katanya.