Mereka itu bukan sebahagian daripada agensi pihak berkuasa atau pasukan penyelamat, namun hanya sekumpulan individu yang secara sukarela mempelajari ilmu menyelamat selain menghulurkan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan.

Pengasas Skuad Sungai Petani, Mohamad Amir Faizal Mohd. Zaki berkata, semangat sukarelawan lebih 40 ahlinya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum de­ngan pelbagai latar belakang adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

“Kami tidak langsung menerima tajaan daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun syarikat swasta sebaliknya membeli segala peralatan dengan menggunakan wang sendiri selain sumbangan beberapa individu.

“Alat bantuan kecemasan yang lengkap sentiasa ada di dalam kenderaan masing-masing. Disebabkan itu, kami mampu untuk memberi bantuan awal tanpa perlu menunggu kedatangan ambulans atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, usaha itu bermula kira-kira tiga tahun lalu semasa beliau bekerja sebagai jurukamera sambilan untuk sebuah syarikat televisyen swasta.

“Kerjaya ini membolehkan saya mempunyai ramai kenalan terdiri daripada anggota penyelamat. Bermula dari situ, saya menyatakan hasrat untuk menubuhkan satu pasukan yang bertindak sebagai first responder dan mereka memberi sokongan penuh,” katanya.

Beliau berkata, hasrat untuk menubuhkan skuad itu hadir setelah melihat kurangnya penglibatan kaum Melayu dalam bidang sukarelawan berbanding kaum Cina di negara ini.

“Saya pernah sertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan daripada kaum Cina yang cukup aktif. Disebabkan itu, saya fikir sesuatu perlu dilakukan bagi mengajak kaum Melayu supaya mencontohi sikap sama kaum Cina dalam hal-hal memberi bantuan awal jika berlaku kecemasan,” katanya.

Mohamad Amir Faizal berkata, terdapat dalam kalangan ahli skuadnya itu terdiri daripada anggota penyelamat sekali gus memudahkan mereka mendalami ilmu berkaitan.

“Dengan ilmu diperoleh ini, kami tidak panik apabila berdepan de­ngan mangsa yang patah anggota badan mahupun berlumuran darah.

“Malah biasanya anggota penyelamat turut memberi kepercayaan kepada kami untuk terus memberi bantuan awal kepada pesakit seperti membalut luka atau membuat anduh sebelum dibawa masuk ke dalam ambulans,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebagai anggota sukarela, beliau dan rakan-rakan seringkali merasa sedih jika ada dalam kalangan mangsa yang tidak dapat diselamatkan.

“Setakat ini ada tiga individu yang meninggal dunia di pangkuan saya walaupun bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) diberikan sebelum kedatangan anggota penyelamat.

“Sedih sangat rasanya ke­ra­na usa­ha kita yang bersungguh-sungguh masih gagal menyelamatkan nyawa seseorang, namun setia manusia perlu percaya kepada qada dan qadar Tuhan,” katanya.

Menurutnya, Skuad Sungai Petani tidak hanya menjalankan tugas membantu mangsa kemalangan, malahan skuad itu turut membantu mengecat papan tanda atau tugu peringatan di kawasan tumpuan masyarakat antaranya di Taman Jubli Perak dan Jam Besar di bandar Sungai Petani.