Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, pusat pemindahan terakhir yang ditutup adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kodiang Lama dekat sini pada pukul 6 petang tadi.

Katanya, seramai 40 mangsa daripada tujuh keluarga merupakan mangsa terakhir di pusat pemindahan tersebut yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.

“Jumlah mangsa banjir yang dicatatkan paling ramai dipindahkan adalah Selasa lalu melibatkan seramai 2,023 mangsa daripada 562 keluarga dan mereka ditempatkan di 34 pusat pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, APM akan meletakkan anggotanya dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dalam tempoh terdekat memandangkan keadaan yang masih tidak menentu.