Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahim Kasim berkata, pihaknya merancang untuk meng­­usahakan tanaman nanas jenis Moris dan MD2 di kawasan seluas 2,500 hektar secara berperingkat untuk tempoh 25 tahun.

“Tanaman nanas ini akan dilakukan secara kontan (berse­lang-seli dengan penanaman pokok getah dan nanas) maka prosesnya akan mengambil masa antara lima tahun bagi setiap 500 hektar kawasan yang kami usahakan.

“Dijangkakan hasil pengelua­ran nanas kami boleh mencecah kira-kira 30 juta biji jika kami berjaya menanam 10 juta pokok di kawasan seluas 500 hektar. Bagaimanapun pada peringkat permulaan ini, kami telah berjaya menanam 1.45 juta pokok nanas Moris di kawasan seluas 77 hektar sejak tahun lalu.

“Pada masa ini, buah nanas Moris yang dipetik bagi musim pertama dan kedua hanya dapat memenuhi pasaran di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sahaja yang majoritinya dijual kepada pemborong pasar malam,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahim, pi­hak­nya bagaimanapun menyasar untuk menembusi pasaran Asia Barat pada tahun depan dengan meng­eks­port nanas jenis MD2 yang lebih berkualiti dan tahan lama.

“Pada tahun ini, kami juga sudah mula menanam 55,000 pokok nanas MD2 di kawasan seluas 2.4 hektar. Syarikat kami merancang untuk memperuntukkan kira-kira 20 peratus atau 100 hektar dari­pada 500 hektar keluasan tanah untuk menanam nanas MD2.

“Kami merancang untuk me­nem­busi pasaran Asia Barat pada tahun depan kerana nanas MD2 boleh dijual lebih mahal iaitu sekitar RM2.50 sekilogram berbanding nanas Moris yang mempunyai harga antara 50 sen sebiji hingga RM3.50 sebiji mengikut grednya.

“Baru-baru ini ketika Lemba­ga Pemasaran Pertanian Perseku­tuan (Fama) melawat ke sini, me­reka telah memberi jaminan untuk membantu syarikat kami mengeksport nanas MD2 kelua­ran Felda Lubuk Merbau ini ke luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) banyak memberi khidmat nasihat teknikal dan kepakaran dengan melaksanakan program pemindahan teknologi yang teratur serta efektif untuk menghasilkan buah yang berkualiti tinggi.cc