Demikian rungutan penduduk Taman Seri Marina Fasa 1, 2, 3 dan Taman Marina Jaya yang terletak di Kuala Kedah di sini ekoran masalah bekalan air yang se­ring terputus di perumahan itu.

Pengerusi Kawa­san Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd. Anuar Affindi Abd. Aziz berkata, sudah banyak aduan dibuat penduduk termasuk kepada pihak berkaitan seperti Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).

Namun, katanya, masalah yang telah lama berlarutan itu hanya diselesaikan dalam jangka pendek iaitu memeriksa tekanan di tangki air sebelum berulang semula tidak lama kemudian.

“Keempat-empat perumahan ini memiliki kira-kira 850 unit rumah yang hanya ditampung tangki air berkapasiti 122,250 gelen untuk lebih 5,000 pengguna.

“Memang tidak mencukupi apabila hanya ada satu tangki sahaja, itu pun paras air di situ tidak pernah cukup untuk kegunaan penduduk apatah lagi pada musim perayaan dan cuti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi penduduk Taman Seri Marina Fasa 2, Rosli Mohd. Desa, 47, pula berkata, krisis air selama 18 hari di kawasan mereka pada 2016 sudah cukup memeritkan apabila terpaksa mencatu bekalan air bagi kegunaan harian.

“Buat masa ini, kalau ada penduduk memasang sistem pam di rumah mereka dapatlah tekanan air sederhana tapi kadangkala pam tersebut pun rosak kerana pili hanya mengeluarkan angin sedangkan pam berjalan.

“Penduduk terpaksa menanggung pula kos membaiki pam atau terpaksa membeli baharu yang kosnya mencecah ratusan ringgit. Jadi, sampai bila kami akan berhadapan masalah ini kerana penyelesaian yang ada kini hanya untuk masa singkat,” katanya.

Sementara itu, penduduk Fasa 1 di taman berkenaan, Syed Sofaruddin Syed Ismail, 51, berkata, setiap kali bekalan air terputus, penduduk terpaksa mengangkut air di kawasan lain untuk kegunaan sementara menunggu lori tangki atau bantuan lain tiba.

“Nasib baik kedai makan saya tidak jauh dari sini tetapi di sana pun tekanan airnya amat perlahan. Saya terpaksa memikirkan pula untuk kegunaan perniagaan. Itu belum lagi tengok air berwarna coklat selepas bekalan air pulih memang kami terpaksa hadapinya,” katanya.