Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mahadzir Elias berkata, pemeriksaan rawak yang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu dilakukan di 189 sekolah membabitkan 3,158 pelajar.

“Purata penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah yang berjaya dikesan AADK adalah antara tujuh hingga lapan peratus setiap tahun. Tahun lepas, 238 orang daripada 3,158 pelajar yang diuji didapati positif dadah.

“Kebanyakan mereka berumur antara 15 tahun dan 16 tahun, namun terdapat juga murid berusia sembilan tahun dikesan positif dadah jenis opiat dan syabu,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri AADK Kedah, di sini hari ini.

Mahadzir berkata, pihaknya memberi tumpuan di 13 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan Pe­rangi Dadah Habis-habisan (PDH) di negeri ini untuk menjalankan pemeriksaan rawak bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Di Kedah, kita mempunyai 15 daerah, namun 13 kawasan (daerah) dikenal pasti sebagai tempat PDH. Antaranya Kuah (Langkawi), Jitra (Kubang Pasu), Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Kuala Ketil, pekan Baling, bandar Pendang, Sik dan Kulim.

“Jumlah pelajar terlibat dadah ini boleh diklasifikasikan pada tahap membimbangkan kerana faktor usia masih muda dan mereka berada dalam kawalan ibu bapa serta sekolah. Jika 238 orang daripada 3,158 pelajar yang diuji didapati positif dadah bagaimana pula, mereka (remaja sebelum dewasa) yang di luar kawalan (ibu bapa dan sekolah),” katanya.

Katanya, berbanding negeri lain trend penagihan mungkin bermula dengan rokok sebaliknya penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di Kedah disebabkan kecenderungan terhadap ketum.

“Di negeri utara seperti Perlis dan Kedah, ketum mudah didapati daripada peniaga dan orang perseorangan.

“Jadi ruang penyalahgunaan ketum terutama seawal sembilan tahun adalah tinggi. Bila mereka mengambil ketum dari usia muda, kebarangkalian untuk terjebak dengan perkara lebih serius seperti dadah adalah lebih luas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan dapat meletakkan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya berbanding Akta Racun pada masa ini.