Ladang diusahakan Muhammad Zuliadi Mail, 43, yang mulanya bertujuan menjual induk dan daging rusa, kini menjadi tumpuan masyarakat setempat dan luar merasai pengalaman berinteraksi serta ‘bermanja’ dengan haiwan ruminan itu.

Muhammad Zuliadi berkata, ladang ternakan berkeluasan satu hektar itu di­usahakannya sejak dua tahun lalu bermula dengan 19 induk rusa yang dibeli dari Kelantan, Kedah dan Perak.

“Pada permulaan, ternakan rusa ini bertujuan menjual induk dan daging sahaja, namun ramai minta supaya saya buka ladang untuk memberi peluang orang ramai mendekati haiwan liar ini.

“Jadi saya mengambil inisiatif menjinakkan semua rusa de­ngan pelbagai teknik sehingga berjaya dan boleh berinteraksi dengan manusia,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini baru-baru ini.

Meurutnya, rusanya yang dahulu liar, kini mudah didekati dan pengunjung boleh mengusap, memberi makan dan bergambar.

“Rusa-rusa di sini sudah menjadi manja hasil latihan saya berbanding di tempat lain. Haiwan ini mungkin masih liar malah di zoo pun kita tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan rusa seperti di ladang saya ini,” katanya yang turut menawarkan khidmat latihan menjinakkan haiwan itu.

Menceritakan idea menternak haiwan itu, katanya, ia bermula kira-kira 10 tahun lalu ketika dia masih berkhidmat dalam tentera.

“Ketika mengikuti operasi di tengah hutan, saya ternampak sekawan rusa dan apabila melihat haiwan ini, saya rasa tenang dan dari situ timbul minat dan bercita-cita untuk usahakan ternakan rusa,” katanya.

Dia seterusnya mengikuti kursus dan latihan ternakan ruminan di Pusat Latihan Ve­terinar Cermin Kiri di Dungun, Terengganu dan melawat beberapa ladang rusa di negara ini untuk mendapatkan pe­ngetahuan dan inspirasi mengenai kaedah ternakan haiwan itu.

Berkat usaha keras sejak dua tahun lalu ladang ternakannya yang terletak dua kilometer dari pusat bandar ini, dia kini memiliki 46 ekor rusa dan boleh dikunjungi setiap hari bermula pukul 8.30 pagi sehingga pukul 11 pagi dan pukul 5 petang hingga pukul 7 malam.

“Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, ladang dibuka untuk lawatan biasa manakala Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis pula dibuka untuk lawatan berkumpulan.

“Langkah ini bagi mengelakkan kesesakan dan memberi pe­luang kepada semua pengunjung berinteraksi dengan rusa di sini.

"Harga tiket juga adalah murah hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak, mereka boleh memberi makan dan bermain sepuasnya dengan rusa di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lanjut mengenai ladang rusa itu boleh menghubungi Muhammad Zuliadi di 013-2249173. – BERNAMA