Pengerusi Jawatankuasa Pe­ne­rangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah ketika melawat keadaan mangsa ribut itu segera bertindak membantu mangsa tersebut untuk membaiki rumahnya.

Menurut Siti Jaharah Harun, 76, sebelum ini, dia bimbang mengenai keadaan rumahnya yang tidak berbumbung dan dinding sehingga kini rosak teruk akibat kejadian itu.

“Makcik tinggal seorang diri di rumah ini, keadaan rumah tidak mempunyai bumbung menyebabkan makcik rasa takut dan bimbang keselamatan makcik.

“Tambahan pula, keadaan hujan hampir setiap hari menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan merosakkan bara­ngan elektrik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemelong, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan.

“Ketika itu makcik berada di bahagian hadapan luar rumah untuk melihat keadaan hujan yang sangat lebat dan angin begitu kuat.

“Tiba-tiba jirannya datang untuk melihat keadaannya yang tinggal berseorangan dan terus memberitahu bumbung rumah­nya diterbangkan angin sejauh 15 meter,” katanya.

Katanya, buat sementara waktu, dia tinggal bersama anaknya, Mohd. Zaki Yaakob, 46, di Kampung Bendang Tebal, Chepir dekat sini sehingga rumah itu siap diperbaiki.

Sementara itu, Mohd. Tajudin berkata, sembilan rumah yang terjejas teruk dalam kejadian itu akan dibaiki oleh Ahli Parlimen Sik dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Belantik.

“Kita pastikan semua rumah yang rosak akan dibaiki sebelum Ramadan ini supaya mangsa dapat menduduki semula rumah masing-masing dengan sempurna,” katanya.