Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, seramai 831 petani mendapat manfaat daripada peruntukan diberikan itu.

“Peruntukan ini bagi membantu golongan sasar supaya mereka bekerja lebih keras untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Saya faham tidak begitu mudah untuk melaksanakan sesuatu projek tetapi sebenarnya, berbakti kepada tanah dengan mengguna bantuan diberikan oleh kerajaan, ia boleh menampakkan hasil dengan syarat diusahakan secara bersungguh-sungguh tanpa jemu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Banana Bukit Selambau Peringkat Daerah Kuala Muda 2918 di Kampung Sungkup Mukim Teloi Kiri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya; Pensyarah Jabatan Institut Sains Biologi dan Pengarah UMCares Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Norzulaani Khalid; Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Neo Pragmatik Sdn. Bhd, Mohd. Norhisham Muhammad Daud dan Pegawai FAMA Daerah Kuala Muda, Mohd. Fauzi Hashim.

Menurutnya, langkah diambil Jabatan Pertanian pada 2016 bagi melaksanakan projek tanaman pisang di atas tanah seluas 1,722 hektar berjaya pengeluaran hasil sebanyak 7,727 tan adalah baik sekali.

“Apabila projek begini dapat diteruskan pada tahun ini dan penduduk dibekalkan dengan anak benih pisang berangan dan nangka lagi, banyak perubahan dijangka berlaku dalam sektor pertanian pada masa akan datang.

“Saya berharap jabatan lain, termasuk Mardi, Lembaga Pertubuhan Peladang, FAMA dan lain-lain dapat memberi kerjasama bagi memajukan sektor pertanian itu,” katanya.

Terdahulu itu, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) negeri, Ahmad Munir Yusoff berkata, melalui program di kawasan berkenaan, anak benih pisang berangan dan nangka diberikan kepada penduduk dari Kampung Sungkup, Kampung Jerai, Kampung Perak dan Kampung Kuala Sin.

“Program kali ini mendapat kerjasama antara Universiti Malaya (UM), Syarikat Neo Pragmatik Sdn. Bhd dan Jabatan Pertanian.

“Semua peserta projek tanaman pisang diberikan taklimat khas tentang cara menanam, penggunaan baja serta lain-lain. Usaha ini boleh menambah pendapatan penduduk jika ia dikendalikan dengan penuh minat sebelum ia mengeluarkan hasil nanti,” katanya.

Seorang petani, Azizan Abdul Rahman, 52, dari Kampung Kuala Sin berkata, projek menanam pokok pisang berangan dan nangka mencapai matlamatnya jika bimbingan dan tunjuk ajar terus diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan.