Masalah air bertakung di kawasan deretan kedai makan tersebut didakwa berlaku sejak setahun lalu selepas pemaju yang menjalankan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sungai berkenaan bertindak menutup longkang sedia ada.

Pemilik Abah Kitchen, Saipol Bahari Mohd. Iman, 42, berkata, kedainya sering dilanda banjir kilat apabila berlakunya hujan lebat selepas pemaju projek berkenaan bertindak menutup longkang sedia ada yang menyebabkan air tidak boleh mengalir ke dalam sungai.

“Setiap kali hujan lebat, kedai saya mesti berlaku banjir kilat dan berlecak kerana air hujan tidak boleh mengalir ke sungai dan ditambah pula, kawasan ini pula lebih rendah berbanding gerai yang lain.

“Keadaan ini sudah tentu akan menjejaskan perniagaan saya kerana pelanggan berasa tidak selesa untuk makan dalam keadaan berlecak dan kotor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Saipol, sudah setahun masalah ini berlarutan dan sehingga kini, tiada langkah yang diambil walaupun sudah berulang kali aduan dibuat kepada pihak berwajib.

“Sudah banyak kali saya membuat aduan kepada pelbagai pihak bertanggungjawab namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil. Yang membimbangkan saya, musim hujan ini akan menyebabkan kedai saya akan lebih kerap dilanda banjir kilat.

“Oleh itu, saya sangat berharap pihak bertanggungjawab dapat membuka semula longkang di kawasan ini bagi membolehkan air mengalir ke dalam sungai sekiranya berlaku hujan lebat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusuf ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memanjangkan masalah tersebut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung masalah yang dihadapi peniaga berkenaan.