LEONG YONG KONG

Pengerusi Jawatan­ku­a­sa­ Alam Sekitar, Hal Eh­wal­ Masyarakat Cina, India dan Si­­­am, Kesihatan dan Perpaduan ne­geri, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, sebanyak 25.4 peratus penduduk berusia lebih 18 tahun di ne­geri ini didapati menghidap diabetes berbanding 22.5 peratus pada 2011.

Menurutnya, individu yang tidak mengetahui status diabetes meningkat dari 9.1 peratus pada 2011 ke 16.1 peratus pada 2015.

“Yang membimbangkan kini, selain diabetes, Kedah juga mencatat jumlah pesakit darah tinggi paling ramai dan kedua tertinggi bagi hiperkolesterol.

“Sebenarnya dalam isu diabetes, perkara ini menjadi satu cabaran buat pengamal perubatan untuk memberi kesedaran bahaya dan komplikasi penyakit ini.

“Bukan mudah untuk beri ke­sedaran berikutan cara hidup yang tidak sihat menjadi budaya dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Sam­butan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri 2016 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri, Diabetes Malaysia Negeri Kedah dan Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah di sini semalam.

Terdahulu, Yong Kong melepaskan kira-kira 500 peserta fun run sempena sambutan tersebut.

Dalam program itu, orang ramai juga berpe­luang menjalani pemeriksaan saringan diabetes, ujian kecergasan fizikal oleh pasukan fisioterapi selain demonstrasi masakan menu sihat dan aktiviti senaman zumba. 

Kata Yong Kong, program pencegahan dan saringan harus ditingkatkan di setiap daerah bagi mengesan penyakit itu lebih awal.

“Tidak banyak yang dapat kita tawarkan untuk rawatan jika didapati menghidap penyakit diabetes kerana ketika itu sudah ba­nyak komplikasi berlaku terhadap pesakit.

“Agak sukar untuk kita cuba kembalikan kualiti kehidupan yang hilang di peringkat terbabit sebab itu kita perlu fokus kepada langkah pencegahan,” ujarnya.