Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, oleh itu, masalah yang masih lagi berlarutan sehingga kini tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Menurutnya, jika perkara berkenaan tidak diberi perhatian dengan baik, rakyat akan memprotesnya dan ia sudah tentu memberi implikasi negatif apabila dijadikan isu oleh pihak-pihak tertentu.

“Masalah ini sudah lama, kerajaan Pas yang berkuasa di Kedah suatu ketika dahulu tidak berdaya untuk mengatasinya.

“Selepas Barisan Nasional (BN) berkuasa semula, masalah air di kawasan itu berlaku lagi dan sekarang ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membuat yang terbaik dalam menangani perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program Community Empowerment, anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda di Padang Temusu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Mohd. Amin Jaafar dan Penolong Pengarah Pemulihan AADK negeri, Wan Hilmi Wan Abdul Rahman.

Tambah Johari, masalah itu juga tidak mustahil boleh menjadi isu politik yang akan dimainkan oleh pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Sesiapa sahaja boleh memprotes sebarang isu yang ada kepentingan rakyat, termasuk isu air ini di mana-mana sahaja. Pemimpin tempatan termasuk dari Pas, UMNO dan PKR juga boleh buat bantahan kerana masing-masing ada kepentingan tertentu.

“Kerajaan PH yang ada kuasa sekarang ini perlulah menunjukkan keupayaan tinggi bagi membaiki loji air dan infrastruktur lain di kawasan Tanjung Dawai,” katanya. - UTUSAN ONLINE