Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peruntukan sebanyak RM10,000 itu merupakan antara kerjasama pejabat Parlimen dan KEDA dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan anak-anak KEDA.

“Hanya melalui pendidikan sahaja penduduk di penempatan KEDA dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Paling utama, mereka (pelajar) ini akan terhindar daripada gejala dadah, mewujudkan pusat tui­syen antara langkah memastikan semua pelajar di kampung KEDA mendapat pendidikan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyerahan Geran Rumah KEDA kepada seramai 191 penerima dari Kampung KEDA Sadek, Kampung KEDA Bandar dan Kampung KEDA Kledang bersempena Jelajah KEDA Di Hati Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Timbalan Pengurus Besar KEDA, Mohd. Kameh Abdullah.

Seramai 191 orang menerima geran hak milik masing-masing iaitu KEDA Keledang seramai 42 orang, KEDA Bandar (46) dan KEDA Sadek (103).

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, dana sebanyak RM5.6 juta atau 10 peratus dari RM56 juta yang disalurkan KEDA ke Baling banyak membantu penduduk di sini terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur.

Jelasnya, pelbagai projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu telah dilakukan dan ia membuktikan komitmen kerajaan negeri dan Pusat dalam membantu penduduk luar bandar.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Norhayati Ishak, 46, dari KEDA Keledang, berkata, dia amat gembira apabila diberitahu akan menerima geran tanah hak milik.

“Saya menetap di sini sejak tahun 1999 lagi, dan apabila diberitahu akan menerima geran, saya merasa amat bersyukur dan gembira sekali.

“Terima kasih kepada kerajaan dan KEDA yang banyak membantu kami selama ini dan tidak pernah meminggirkan kami daripada sebarang bantuan dan kebajikan,” kata Norhayati.