Program berkenaan menggalakkan ahli PVNK dan pelajar IPT untuk memanfaatkan bulan mulia ini dengan amalan bersedekah walaupun tidak berkemampuan dalam bentuk kebendaan atau kewangan.

Sedekah yang dilaksanakan adalah bentuk perkongsian ilmu oleh sembilan Sukarelawan PVNK yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang videografi dan multimedia.

Pengerusi PVNK, Samsudin Awang berkata, program itu memberi peluang kepada ahli PVNK yang kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan siswazah menganggur dengan memperba­nyakkan amalan mulia pada Ramadan yang tidak memerlukan kos.

“Kami cuba mengubah persepsi masyatakat yang bulan puasa ini hanya perlu bersedekah wang atau juadah berbuka sedangkan berkongsi ilmu pengetahuan juga mendapat ganjaran sedekah.

“Sedekah ilmu sebenarnya memberi ganjaran pahala yang lebih besar andainya orang menerima ilmu ini turut menyampaikannya kepada orang lain dan begitulah seterusnya,” katanya dalam Program Sedekah Ilmu PVNK di Kolej Komuniti Baling, di sini baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan de­ngan kerjasama Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Seramai 210 pelajar dan kakitangan kolej berkenaan menghadiri sesi kuliah selama empat jam itu dengan perkongsian ilmu videografi khususnya kaedah memanfaatkan fungsi video pada telefon pintar untuk menjana pendapatan.

Kolej itu adalah lokasi ke-10 program berkenaan selepas PVNK menjelajah ke beberapa kolej dan univeristi lain di seluruh negeri ini termasuk di Langkawi.