Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PPPC perkenal tanaman cendawan

Mampu capai pendapatan RM4,500 sebulan

PEGAWAI Unit Makmal PPPC, Lutfi Romli (kanan) bersama kakitanganya 8
PEGAWAI Unit Makmal PPPC, Lutfi Romli (kanan) bersama kakitanganya memeriksa kualiti cendawan volvariella untuk dikomersialkan.

PADANG TERAP 10 Mei - Dalam tempoh tiga atau empat tahun lalu, harga getah di pasaran dunia yang tidak menentu sememangnya memberi kesan kepada masyarakat luar bandar sehingga menimbulkan terlalu banyak rungutan mengenainya.

Dikhabarkan penduduk desa di negeri ini yang menjadikan penjualan susu getah sebagai sebagai sumber pendapatan utama, berada dalam keadaan tersepit sehingga pendapatan mereka hanyalah antara RM500 hingga RM700 sebulan.

Menyedari betapa nasib penduduk kampung perlu dibela, pihak pentadbir dan wakil rakyat tidak berdiam diri, malahan beberapa penyelidikan dilakukan.

Akhirnya pihak berwajib memperkenalkan tanaman cendawan volvariella yang turut dikenali sebagai cendawan jerami pada 2014.

Pada mulanya, cuma 12 peserta mengikuti program tersebut sementara benihnya pula diperoleh dari negara jiran.

Namun sejak November 2016, berlaku perkembangan pesat terhadap program tersebut dengan tertubuhnya Pusat Pengeluaran dan Pengembangan Cendawan (PPPC) Volvariella di Kampung Padang Nyior di sini.

Pegawai Pertanian Daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi berkata, penubuhan PPPC hasil kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi penyelidikan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

“Hasil penyelidikan ini membawa manfaat besar dengan 10,000 beg benih cendawan tersebut mampu dihasilkan setiap bulan bagi memenuhi permintaan di seluruh negara.

“Ketika ini sudah ramai mengusahakan projek cendawan volvariella kerana membawa pulang­an tinggi selain mudah dijaga. Sejak beberapa tahun lalu, kami memberi kursus kepada ramai individu sehingga permintaan benihnya mencecah 8,500 beg sebulan,” katanya dalam majlis Perasmian PPPC di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sumber Air, Bekalan Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Ramzah Dambul; Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Mohd. Ashhar Khalid; Pengarah Pertanian Kedah, Mohamed Bokhori Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Kama Noriah Ibrahim.

Beliau berkata, PPPC berupaya menghasilkan benih sendiri dan ketulenan benih tidak perlu diragui.

“Koperasi kampung ini juga turut terlibat secara langsung, sekali gus menambah pendapatan kepada penduduk di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dalam kalangan pengusaha cendawan tersebut mampu mencapai pendapatan sehingga RM4,500 sebulan sekali gus keluar daripada garis kemiskinan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Bhd., Norman Hassan Ludin berkata, PPPC diuruskan sepenuh masa oleh empat anak muda dari kampung tersebut dan koperasi membayar gaji mereka supaya operasinya berjalan lancar.

“Keempat-empat mereka sebelum ini dihantar menjalani kursus di Agensi Nuklear Malaysia di Bangi bagi memastikan mereka benar-benar menguasai teknik serta kemahiran mengendalikan PPPC.

“Alhamdulillah, langkah ini tampak berjaya kerana mereka tidak sekadar mampu menjalankan tugas dengan baik, malah turut berkeupayaan mengendalikan kursus kepada peserta dari seluruh negara.

“Biarpun pengusaha cendawan ini kian ramai, namun bekalannya tidak pernah mencukupi kerana permintan cukup tinggi,” katanya.

Menurutnya, bagi memudahkan peserta kursus bermalam serta menambah pendapatan masyarakat setempat, program inap desa turut disediakan de­ngan harga RM50 semalam untuk setiap seorang.

Dalam pada itu, Ramzah berkata, Agensi Nuklear Malaysia berperanan sebagai penyumbang teknologi, pemindahan produk, kepakaran dan teknologi berinovasi kepada PPPC tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk membetulkan tanggapan skeptikal masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear yang selama ini dianggap hanya mendatangkan kemusnahan besar, sehingga menampakkannya seolah-olah tidak langsung mendatangkan kebaikan.

“Kononnya nuklear ini ha­nyalah berkaitan dengan bom atom atau radiasi semata-mata. Sebenarnya terlalu banyak kebaikan lain yang ada pada nuklear termasuklah dalam bidang pertanian seperti ini sepertu penghasilan baka lebih baik dan tahan lama,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain