Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kerajaan prihatin terhadap golongan itu dengan menyediakan kemudahan untuk mereka membeli rumah tersebut de­ngan potongan harga hingga 20 peratus.

“Sebanyak 8,000 unit rumah telah dibina menerusi projek PPA1M di negeri Kedah sebagai satu bentuk penghargaan kepada pesara kerajaan dan kakitangan badan berkanun di ne­geri ini,” katanya ketika berucap merasmikan pembinaan rumah contoh PPA1M oleh Oriental Interest Berhad (OIB) di Taman Permaipura, Bedong, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Norizan Khazali; Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Projek) Unit PPA1M Jabatan Perdana Menteri, D. Gunasegaran Naidu dan Pengarah Eksekutif OIB, Low Peng Koon.

Menurutnya, pembinaan 600 unit rumah di kawasan Bedong adalah penting dalam usaha mempercepatkan pembangunan bandar Sungai Petani di daerah Kuala Muda.

“Selain itu, OIB juga sedang menyiapkan projek perumahan PPA1M sebanyak 450 unit di Taman Sinar Intan, Sungai Petani dan 610 unit rumah lagi di Taman Serai Wangi daerah Kulim,” jelasnya.

Tambah Badrol Hisham, sebanyak 25,000 unit rumah telah dibina dalam program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri Kedah manakala PPA1M pula akan membina sebanyak 8,000 unit dan syarikat lain pula membina rumah selebihnya bagi mencapai 40,000 unit dalam tempoh lima tahun.

Terdahulu itu, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran OIB, Beh Suan Sim berkata, projek pembinaan tersebut telah bermula bulan Januari lalu dan dijangka siap bulan Disember 2018 nanti.