Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pemba­ngunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, Fi­shance Berhad berupaya mengeluarkan lebih 100,000 tan metrik setahun.

“Syarikat itu mempunyai kepakaran dan teknologi terkini membantu membangunkan industri menternak ikan di Langkawi sekali gus menjamin kese­lamatan makanan di negeri ini.

“Malah, mereka boleh dianggap sebagai syarikat yang mempunyai teknologi penetasan ikan terbesar di Asia Tenggara yang mana membantu mening­katkan hasil pengeluaran ikan dalam sangkar di Pulau Langgun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bayaran Fi Komitmen dan Bayaran Royalti kepada Kerajaan Negeri Kedah oleh Fishance Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pemba­ngunan), Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Pengarah Ba­hagian Perancang Ekonomi ne­geri, Syed Isa Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Fi­shance Berhad, Alexey Dorin.

Syarikat berkenaan yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk membuat 3,000 sangkar ikan jenis siakap, kakap dan kerapu di Pulau Langgun, Langkawi menye­rahkan fi komitmen sebanyak RM755,000 dan bayaran royalti sebanyak RM540,000 dengan jumlah keseluruhan membabitkan RM1.295 juta.

Menurut Suraya, pihaknya juga sentiasa memastikan sektor pelancongan di Langkawi tidak terjejas berikutan pembangunan industri penternakan ikan di pulau berkenaan, malah beliau yakin pelaburan luar itu berupaya membantu meme­nuhi keperluan pelancong dan penduduk di kawasan itu.

Sementara itu, Alexey berkata, syarikatnya komited dalam membangunkan industri penternakan ikan di Langkawi seterusnya membantu kerajaan negeri menjadikan pulau tersebut sebagai hab perikanan terbesar di Asia Tenggara.

“China, Taiwan dan Filipina memang terkenal dalam bidang penternakan ikan dan sudah tiba masanya Langkawi pula dijadikan sebagai salah satu hab perikanan terbesar dengan adanya projek ternakan ikan dalam sangkar ini,” ujarnya.