Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Yazri Ismail berkata, sebanyak lima ekor lembu disumbangkan oleh pegawai dan anggota dari IPD itu bagi melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

“Sejak pukul 7 pagi, kita bergotong-royong memotong da­ging untuk diberikan kepada kepada 100 penerima yang dikenal pasti merupakan golongan kurang berkemampuan di sekitar kawasan Kepala Batas ini.

“Selain memberikan daging mentah, kita juga memberikan sekilogram beras kepada mereka. Ini adalah sumbangan kita kepada masyarakat kerana polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya ketika ditemui selepas majlis Ibadah Korban Peringkat IPD Kota Setar di sini hari ini.

Menurut Yazri, program agihan daging korban kepada golo­ngan kurang berkemampuan itu merupakan aktiviti tahunan yang dilakukan pihaknya setiap kali Hari Raya Aidiladha.

“Ini merupakan program tahunan kita cuma lokasi penganjurannya sahaja berbeza. Pada tahun lalu, kita adakan di Balai Polis Pokok Sena manakala kali ini, Balai Polis Kepala Batas pula menjadi tuan rumah.

“Kita anjurkan program ini di balai-balai berbeza di bawah IPD Kota Setar bagi semua pihak me­rasa di samping dapat mendekati masyarakat setempat,” ujarnya.

Tambah beliau, selain meng­agihkan daging korban tersebut, pihaknya turut bergotong-royong memasak hidangan bagi disajikan kepada para penerima serta petugas-petugas yang menjayakan maj­lis berkenaan.