Ketua Eksekutifnya, Abdul Rahman Abdullah berkata, program tersebut yang menelan belanja ke­seluruhan RM15,000 me­rupakan yang julung kali diadakan.

“Kami banyak menganjurkan program tanggungjawab sosial (CSR) dan membuat tajaan, namun ini kali pertama program seumpamanya diadakan.

“Insya-Allah pada masa akan datang, bantuan sebegini akan diperluaskan. Diharap kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada wakil pusat pembelajaran KAFA terpilih di Hotel Regency, di sini baru-baru ini.

Pemberian itu diagihkan kepada 10 pelajar terpilih dari 10 pusat pembelajaran KAFA antaranya Surau Taman Wira, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai, SK Bukit Pinang dan SK Kampung Gelam.

Sementara itu, guru KAFA Surau Taman Wira, Juwairiah Mohd. Jusoh, 41, berkata, pemberian wang tunai itu mencukupi untuk membayar yuran selain mendapatkan buku teks serta buku aktiviti buat setiap pelajar terpilih.

“Kebanyakan mereka ini datang daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah de­ngan sebahagiannya memiliki adik beradik yang ramai.

“Dengan pemberian ini, pasti mampu meringankan beban ibu bapa masing-masing dan saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan PKNK,” katanya.