Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, MADA akan bekerjasama de­ngan Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bekalan benih kela­pa varieti berkena­an bagi diagihkan ke­pada petani yang berminat mengusahakan tanaman ini.

Katanya, MADA mempunyai 50,000 petani jadi pada peringkat permulaan ini setiap satu keluarga akan dibekalkan dengan lima pokok benih dahulu dan mereka boleh tanam kelapa-kelapa ini di tepi kawasan rumah mereka.

“Kita ingin galakkan tanaman ke­lapa jenis Carena, Sempurna dan Matag kerana ia berupaya un­tuk menghasilkan pendapatan dan hasil buah yang lebih banyak berbanding kelapa biasa jika ia diusahakan secara amalan pertanian yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepa­da pemberita selepas Program Transformasi Nasional 2050 anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini semalam.

Program tersebut disertai kira-kira 200 petani muda dari seluruh negeri Kedah dan Perlis.

Tambah beliau, permintaan ke atas hasil tanaman tersebut tinggi dan dengan pengusahanya dijangka menerima pendapatan sehingga RM800 setiap pokok apabila kelapa itu berbuah kelak.

“MADA berusaha menggalakkan petani menceburi tanaman kelapa kerana permintaan tinggi untuk tanaman ini dan kita harap petani mengambil peluang ini untuk tingkatkan pendapatan mereka.

“Kalau kita hanya menunggu hasil tani sahaja tentu kita tidak berupaya meningkatkan pendapatan RM38,000 setahun dan mereka perlu mencuba mengusahakan bidang lain termasuk industri ber­asaskan tani ini,” katanya.

Menyentuh tentang program itu, jelas beliau, ia merupakan sa­lah satu program bagi mendapatkan aspirasi daripada petani ter­utama kalangan generasi muda dalam membentuk dasar TN50.

Othman berkata, MADA turut tidak ketinggalan mengadakan program TN50 lain seperti sesi bersama pelajar MADA Rice Training Centre dan Chillax TN50.

“Sehingga kini lebih 50 aspirasi dikumpul daripada program berkenaan,” katanya.