FOUZI ALI

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata, penanaman padi bagi musim 2/2018 akan bermula dengan fasa satu pada 26 September ini manakala fasa dua pada 6 Oktober depan dan fasa tiga pada 16 Oktober.

“Pesawah yang mengusahakan padi dalam kawasan MADA disarankan untuk mempercepatkan aktiviti di bendang seperti penyediaan tanah berikutan musim hujan sudah bermula.

“Jumlah hujan di kawasan MADA sehingga 20 September lalu adalah sebanyak 157mm manakala peratusan takungan air di tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning adalah pada tahap 76 peratus iaitu mencukupi untuk pengairan tanaman padi bagi Musim 2/2018,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurutnya, kelewatan menjalankan aktiviti penanaman padi bukan sahaja boleh menyebabkan pembaziran air malah meningkatkan risiko serangan perosak dan penyakit terutamanya serangan tikus, siput gondang, ulat gulung daun termasuk bena perang.

“Ia juga akan menyebabkan penyakit bawaan air dan tanah seperti hawar seludang, sambang dan hawar daun bakteria merebak selain berdepan dengan risiko menanggung kerugian hasil tanaman jika tempoh matang tanaman padi di bendang tidak seragam,” katanya.