Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Kuala Kedah, di sini hari ini mendapati harga tiket dijual pada harga RM23 berbanding RM26 semalam untuk dewasa manakala kanak-kanak RM17 (RM20).

Sementara itu orang ramai yang ditemui di jeti berkenaan menyambut baik langkah itu selain berharap harga tersebut kekal demi tidak membebankan pengguna.

Seorang pelancong, Yuzniza Yahaya, 38, memberitahu, pihaknya berharap penarikan caj pengurusan tersebut akan kekal dalam usaha menggalakkan orang ramai berkunjung ke Langkawi.

“Caj tambahan yang mahu diperkenalkan perlu releven dan tidak membebankan pengguna. Bagi pelancong yang datang beramai-ramai bersama keluarga pasti akan terbeban dengan kadar caj tambahan yang tidak munasabah tersebut.

“Mungkin pihak operator feri boleh memberikan diskaun bagi pembelian dalam talian dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi operator feri, syarikat Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. tidak berjaya.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik langkah operator feri yang menarik balik caj pengurusan sebanyak RM3 yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan itu semalam.

“Semalam, Cake menerima lebih 100 aduan daripada orang ramai berhubung caj pengurusan yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan feri tersebut.

“Kita berpendapat adalah tidak wajar untuk meletakkan beban kepada pengguna dalam usaha menggalakkan orang ramai membuat belian dalam talian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohamad Yusrizal, pihak operator feri perlu mencari kaedah lain untuk menggalakkan orang ramai membuat dalam talian kerana langkah mengenakan caj pengurusan secara mendadak hanya membebankan pengguna terutama bagi warga emas yang tidak menggunakan internet. - UTUSAN ONLINE