Dengan pendapatan hanya RM600 sebulan selaku peniaga nasi lemak selain bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Intan Zulina tidak sesekali sanggup menyerahkan ibu dan ayahnya itu ke tangan orang lain biar pun dia perlu menanggung tiga anak berusia antara 7 hingga 12 tahun.

“Saya akui pernah mengeluh kepenatan tetapi apabila difikirkan semula bagaimana ayah, Osman Jusuh, 77, dan ibu, Siti Zabedah Saidin, 69, yang me­ngalami kecacatan sejak kecil mampu menjaga saya sejak dari kecil hingga dewasa, rasanya tidak wajar langsung untuk saya tinggalkan mereka dalam jagaan orang lain.

“Disebabkan itu saya teruskan juga menjaga mereka walaupun bersendirian membesarkan anak selepas berpisah dengan suami pada 2014. Bagi saya, mungkin Allah mahu me­nguji di dunia untuk memberi kehidupan lebih baik buat kami di akhirat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kecekalannya dalam menyara kehidupan itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Kodiang Lama Luar, dekat sini pada 19 Jun lalu bagi melihat sendiri ke­peritan hidup dilalui dan menyam­paikan sumbangan peribadi.

Intan Zulina menambah, menurut cerita saudara-mara, Osman pada mulanya dilahirkan normal namun mula mengalami masalah setelah menghidapi demam panas sehingga menyebabkannya hanya mampu bergerak menggunakan lutut dan siku.

“Ibu pula dikatakan menjadi kurang upaya kerana kelambu tidurnya terbakar sewaktu kecil dan mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Mulanya dia masih boleh berjalan namun selepas terjatuh di bilik air hampir 20 tahun lalu, tangan kanannya sudah tidak boleh diangkat sementara tenaganya juga kian kurang akibat faktor usia menyebabkannya hanya mampu terbaring,” katanya.

Menceritakan mengenai detik-detik kunjungan Perdana Menteri ke rumahnya, Intan Zulina berkata, dia langsung tidak menyangka yang pe­mimpin negara itu sanggup hadir ke rumahnya semata-mata untuk melihat kesusahan dialami.

“Saya betul-betul tak sangka. Apabila diberitahu Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) beberapa hari sebelum itu, saya cukup terkejut dan sukar mempercayainya.

“Saya teruja, terharu menerima kedatangan Perdana Menteri dan isteri. Insya-Allah, semoga kehidupan kami menjadi bertambah baik selepas kunjungan beliau,” katanya.