Itu kenangan terindah selama berkhidmat dengan Almarhum baginda sejak berusia 17 tahun lagi.

“Saya ikut Almarhum baginda menunaikan haji di Mekah semasa saya memegang jawatan Ketua Istana dan apabila Almarhum ba­ginda dapat masuk ke dalam Kaabah, saya berpeluang masuk sekali.

“Di dalam Kaabah, saya solat sunat bersama Almarhum baginda. Itu merupakan kenangan terindah buat saya kerana saya sebagai rakyat biasa dapat solat bersama baginda di dalam Kaabah,” kata Ahmad Arshad, 70, ketika ditemui di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit bagi menghadiri istiadat permakaman Almarhum Sultan Abdul Halim, hari ini.

Ahmad Arshad mula berkhidmat di Istana Anak Bukit sebagai pelayan peribadi Almarhum sebelum dilantik menjadi Ketua Istana dari tahun 1974 hingga 2004.

Katanya, kali terakhir dia menghadap Almarhum ialah pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri lepas di bilik beradu Istana.

“Walaupun Almarhum baginda kelihatan letih, namun masih boleh bergurau.

“Saya diberikan peluang menghadap Almarhum selama 35 minit dan sepanjang tempoh itu, banyak yang dibualkan termasuk mengimbau kenangan sepanjang saya berkhidmat dengan Almarhum,” katanya.

Walaupun sedih dengan kemang­­katan Sultan Abdul Halim, namun dia tidak berasa ralat kerana dapat juga berjumpa dan berbicara semasa Aidilfitri lalu.

Ahmad berkata, dia mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Almarhum baginda daripada pihak Istana pada pukul 3 petang dan te­rus ke Istana Anak Bukit.

“Almarhum baginda tidak ce­rewet dan mudah didekati yang menyenangkan urusan sepanjang tempoh berkhidmat dengan ba­ginda.

“Bekerja dengan Almarhum memang senang tapi Almarhum sangat menitikberatkan tentang ketepatan masa dan pakaian yang dipakai perlu sentiasa kemas.

“Kalau pekerja ada buat salah pun Almarhum tidak marah dan akan menegur dengan nada lembut dan memang cukup baik dalam menjaga hubungan bersama pekerja,” katanya.

Almarhum baginda yang gemar makan kari ikan, ikan sepat kering goreng dan kuih pulut kacau, tidak juga cerewet tentang makanan yang disediakan tukang masak Istana.

Menurutnya, Almarhum juga sangat menitikberatkan pelajaran puteri-puteri baginda yang berumur antara 27 dan 41 tahun.

“Almarhum baginda selalu berpesan kepada saya untuk pastikan anak-anak saya berjaya dalam pelajaran dan selalu menekankan tentang pentingnya ilmu dan pelajaran.

“Anak-anak saya juga sudah anggap Almarhum baginda seperti Tok Wan dan hubungan mereka dengan baginda sultan rapat kerana setiap kali hari raya mereka akan menghadap Almarhum baginda,” katanya.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. – BERNAMA