Menurut mereka, kawasan itu hendak dibangunkan sebuah projek perumahan dan kedai.


Timbalan Pengerusi Persatuan Jayam negeri, A. Loganathan memberitahu, selain perumahan, kawasan itu sebelum ini turut menempatkan bangunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (KKPL) negeri ini.


Katanya, walau bagaimanapun bangunan KKPL itu telah pun dirobohkan oleh pihak pemaju berkenaan pada 19 Disember lalu.


“Bangunan KKPL ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 9 Januari 1964.


“Dalam hal ini, kami meminta pihak pemaju projek berbincang bersama penduduk sebelum apa-apa tindakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Penduduk, M. Selvam, 45, berkata, pihaknya meminta campur tangan pihak-pihak tertentu bagi membantu masalah penduduk.


Guru tuisyen yang tinggal di situ, Loo Saw Horng, 43, pula berkata, dia juga membuat laporan polis pada 5 Januari lalu selepas dua orang kakitangan pihak pemaju datang untuk memaklumkan yang rumahnya adalah antara bakal dirobohkan pada 15 Januari ini.


“Tujuan buat laporan adalah untuk keselamatan rumah saya serta keselamatan diri dan keluarga.


“Mereka memaklumkan rumah saya akan dirobohkan jika tidak keluar dari rumah yang didiami pada tarikh berkenaan,” katanya lagi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy ketika ditemui di majlis itu berkata, pihak pemaju dan KKPL perlu memberi perhatian serius terhadap penduduk di kawasan itu tanpa bertindak lepas tangan begitu sahaja.


Beliau bersimpati dengan nasib dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan dan meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee sama-sama mencari jalan untuk menangani permasalahan berkenaan. - UTUSAN ONLINE