Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, segala persiapan sudah pun dibuat bagi memastikan kerja-kerja menyelamat mahu pun pemindahan mangsa terlibat dilakukan secara tersusun.

“Mesyuarat sudah dijalankan dan taklimat daripada Jabatan Meteorologi turut kami terima. Setakat ini kami sudah memaklumkan kepada penduduk mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil dan mereka sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan bagi berdepan situasi-situasi tertentu.

“Seperkara yang saya harapkan, jika mereka diminta berpindah, patuhilah dan lakukan secepat mungkin. Bencana yang melanda sukar untuk dijangka sehingga ada kalanya berlaku terlalu cepat. Oleh itu kerjasama semua pihak amat diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Kursus Survival Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (Storm) peringkat kebangsaan di Pantai Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Awang Hidzel Awang Bujang, Ketua Cawangan Pasukan Penyelamat Bomba, Jamil Saadun serta Penolong Pengarah operasi Negeri, Nazri Zakaria.

Baru-baru ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan fenomena air pasang besar akan kembali berulang di Kedah dan Selangor pada pertengahan bulan ini dan bulan depan dengan ketinggian ombak mencecah hampir lima meter.

Sebelum ini fenomena itu pernah melanda beberapa negeri bermula pada 20 September lalu yang menyebabkan ribuan penduduk terutamanya di kawasan pantai terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan.

Menurutnya antara kawasan yang diberi perhatian adalah kampung-kampung di sekitar Kota Kuala Muda, Tanjung Dawai, dan Yan.

Sementara itu katanya, beliau mahu mengusulkan cadang­an kepada menteri terlibat agar anggota bomba yang menyertai pasukan Storm diberi elaun khas sama seperti dinikmati oleh pasukan-pasukan elit jabatan beruniform yang lain.

“Untuk menyertai Strom, bukan calang-calang orang boleh melakukannya. Mereka ini amat terlatih dan mampu bertugas dalam apa jua keadaan kerana latihan yang diterapkan amat keras serta menuntut ketahanan tinggi dalam diri seseorang anggota.

“Kemahiran yang ada pada mereka tidak perlu dipertikai dan mereka juga berdepan semua itu atas penyertaan secara sukarela bersandarkan minat semata-mata. Jadi dalam usaha memperkasakan pasukan ini, saya fikir insentif khas untuk mereka sama seperti dinikmati pasukan elit yang lain,” katanya.