Mudassir Mirza Mirza Shahid Mahmood, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mohd Shariff di sini, memperoleh 6A dalam semua subjek UPSR semasa menerima Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang diumumkan hari ini.

"Selain itu, saya akan ikut jadual harian bagi memastikan masa digunakan sebaiknya. Kebiasaannya, saya akan ulang kaji selama dua jam selepas solat Isyak dan pada hujung minggu saya luangkan masa satu jam setengah untuk ulang kaji.


"Kalau letih, saya akan berehat dan menonton televisyen selama 30 minit. Selain belajar sendiri dan banyak membuat latihan, saya juga mengambil kelas tuisyen Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan cemerlang itu didedikasikan kepada ibunya, Sonarani Nasar, 44, yang terpaksa menjaga dan mendidiknya dan adik beradiknya seorang diri selepas kematian ayahnya, Mirza Shahid Mahmood Yusoff lima tahun lalu.


"Walaupun sudah tiada ayah, saya ingin buktikan saya mampu cemerlang dalam pelajaran dengan hasil didikan ibu dan ingin sambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dan harap dapat kekalkan keputusan akademik yang cemerlang untuk mencapai cita-cita jadi seorang saintis," katanya.

Sementara itu, Sonarani yang bekerja sebagai tukang jahit berkata dia tidak terlalu memberi tekanan kepada anak bongsu daripada empat beradik itu dalam pelajaran.

"Dari darjah satu dia menunjukkan minat dalam pelajaran dan setiap kali peperiksaan dia dapat keputusan cemerlang dan saya sebagai ibu hanya mampu beri sokongan dan dorongan, selebihnya terletak pada dirinya.

"Memang sukar untuk jaga dan didik anak seorang diri tetapi Allah beri saya kekuatan dan kelebihan pada Mudassir Mirza," katanya. - BERNAMA